Popular Post

Posted by : Unknown Sunday, 30 August 2015

Tips Menghadapi Peperiksaan

Saya ditanya oleh seorang mahasiswa apakah tips-tips yang boleh saya kongsikan untuk beliau menghadapi peperiksaan penting yang bakal beliau hadapi.
Allahu A`lam.  Meninggalkan terlalu lama dunia pembelajaran di sekolah dan universiti membuatkan nasihat saya mungkin tidak tepat dengan situasi beliau.  Mungkin beliau pun sudah tahu jawapannya.  Namun, ingin saya kongsikan suatu perkara yang teramat penting untuk semua kita semua hayati, iaitu:
  • Tawakkal kepada ALLAH.
Tawakkal diertikan sebagai menyerahkan diri kepada ALLAH Ta`ala akan semua urusan yang telah kita letakkan usaha padanya.
Contohnya jika seorang mahasiswa telah melakukan pelbagai usaha sebelum menghadapi peperiksaan seperti mengulangkaji, melakukan hafalan, latih tubi, perbincangan dengan rakan-rakan, memastikan alat tulis dalam keadaan baik dan sebagainya, maka selepas dari itu, serahkanlah segala urusan seterusnya kepada ALLAH Ta`ala.  Biar DIA tentukan hasilnya.  Tawakkal mempunyai nilai yang sangat besar dalam hati seorang mukmin.  Ia hubungan istimewa antara hamba dan Tuhannya.  Inilah kekuatan tambahan yang hanya ada pada orang yang berserah diri kepada ALLAH Ta`ala.
Dengan bertawakkal, akan lahir banyak kesan yang positif dalam jiwa seseorang.  Antaranya ialah:
  1. Tenang.
  2. Redha.
  3. Yakin.
  4. Tidak gugup.
  5. Lebih bersemangat.
  6. Bersikap positif.
  7. Bersedia.
  8. Tidak cemas.
  9. Bersungguh-sungguh.
  10. Dan banyak lagi.
Kesan yang positif ini terhasil kerana dia sedar bahawa usaha yang telah dia lakukan itu bukanlah perkara muktamad yang menatijahkan hasil kepadanya.  Tetapi segalanya terserah kepada ALLAH Ta`ala.  Tugasnya ialah buat yang terbaik setakat yang dia mampu dengan tidak merosakkan dirinya.  Selebihnya ALLAH Ta`ala yang tentukan.
Seseorang yang bertawakkal akan berasakan bahawa dia tidak keseorangan berhadapan dengan sesuatu urusan, kerana dia yakin bahawa ALLAH sentiasa memerhatikannya dan penuh sangka baik terhadap ALLAH bahawa ALLAH sedang membimbingnya.
Dan samada keputusan yang bakal diperolehi itu menyenangkannya atau mendukacitakannya, menyeronokkannya atau mengecewakannya, semua itu adalah ketentuan ALLAH Yang Maha Agung.  Maka, dia akan bisa menghadapi natijah dari usahanya dengan rasional, tenang, baik dan penuh keimanan walau apa pun hasilnya.  Jika berita gembira yang dia perolehi, maka dia akan bersyukur.  Jika sebaliknya, maka dia akan sabar dan redha.
Banyak firman ALLAH Ta`ala di dalam al-Quran mengenai tawakkal.  Antaranya ialah:

وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya:  “Dan ke atas ALLAH lah orang-orang beriman bertawakkal.”
(Surah aali `Imran, 3:122)

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya:  “Apabila kamu telah membulatkan tekad dalam sesuatu urusan, maka bertawakkal lah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNYA.”
(Surah aali `Imran, 3:159)

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya:  “Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan) nya.”
(Surah at-Talaq, 65:3)
Di dalam hadith juga banyak kalam Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam yang menyentuh perihal tawakkal.  Ia adalah salah satu sifat orang-orang yang tidak akan dihisab dan diazab ke dalam api neraka.  Iaitu orang-orang beriman yang kuat tawakkalnya kepada ALLAH Ta`ala.  Hadith Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma itu boleh dibaca di sini, in shaa’ ALLAH:
Sungguh, ia sifat yang sangat menguntungkan.  Sangat wajar untuk kita terapkan di dalam diri samada sebagai mahasiswa atau sesiapa sahaja.  Hati kita tidak akan rasa keseorangan menghadapi urusan besar samada peperiksaan atau apa sahaja.  Kerana ALLAH bersama kita dan kepada ALLAH kita serahkan urusan tersebut ditentukan.  Dan semua yang bakal terjadi adalah semuanya dalam ketentuan ALLAH yang tidak bersifat menzalimi hamba-hambaNYA.
Pendek kata, dalam bab menghadapi peperiksaan ini, sifat tawakkal akan mendatangkan ribuan perkara positif samada sebelum, semasa atau selepas peperiksaan.  Utamakanlah sifat tawakkal ini untuk ia diserapkan dalam diri sebagai persiapan menghadapi peperiksaan.  Memiliki akal yang waras, jiwa yang sihat dan hati yang tenang sangat penting sebagai bekal menghadapi peperiksaan.  Dan sifat tawakkal adalah formula yang ampuh untuk mendapatkannya.
Mengiringi tawakkal ialah doa.  Terpulang pada masing-masing untuk memanjatkan doa kepada ALLAH saat genting itu.  Kepada ALLAH lah kita mengabdikan diri.  Dan kepada ALLAH lah kita meminta.  DIA lah tempat pengaduan kita.  Justeru, berdo`alah kepadanya dengan penuh harap.
Berikut antara doa yang baik dibaca, in shaa’ ALLAH:
1)

حسبيَ اللهُ ونعمَ الوكيلُ

HasbiyAllahu wa ni`mal wakiil
“Cukuplah bagiku ALLAH dan DIA lah sebaik-baik diserahkan urusan.”
Kalimah di atas pernah dibaca oleh Nabi Ibrahim sallAllahu `alaihi wa sallam saat Baginda dilontar ke dalam api yang besar.  Dan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam juga pernah membacanya ketika berlaku saat genting dikepung mahu diserang oleh musyrikin Makkah.
2)

بسمِ اللهِ توكلْتُ على اللهِ ، ولا حولَ ولا قوةَ إلا باللهِ

Bismillahi tawakkaltu `ala ALLAH wa la hawla wa quwwata illa biLLAH
“Dengan nama ALLAH aku bertawakkal kepada ALLAH dan tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan pertolongan ALLAH.”
3)

اللهمَّ إني أعوذُ بك منَ الهمِّ والحزَنِ ، والعَجزِ والكسلِ

Allahumma inni a`udzu biKA min al-hammi wa al-hazan, wa al-`ajzi wa al-kasal
“Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung denganMU dari rasa gelisah dan sedih, lemah dan malas.”
4)

اللهمَّ يَسِّرْ ولا تُعَسِّرْ

Allahumma yassir wa la tu`assir
“Ya ALLAH, permudahkanlah janganlah disusahkan”
Inilah nasihat ringkas mengenai tajuk di atas.  Mungkin boleh ditanya kepada orang-orang yang bijaksana dan berpengalaman untuk mendapatkan nasihat yang lebih terperinci.  Mudah-mudahan tulisan ini bermanfaat buat semua pembaca khususnya kepada para penuntut ilmu dan diri saya juga.  Semoga hidayah dan taufiq ALLAH sentiasa membimbing kita semua, amin…
Sekadar berkongsi,

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © SK ASSAM JAWA - Date A Live - Powered by Blogger - Designed by HarimauemasSniper -